Monday 22 August 2011

95% berhenti merokok semasa Ramadhan

Kajian mendapati 95 peratus daripada perokok beragama Islam menyatakan lebih mudah untuk berhenti merokok dalam bulan Ramadhan.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Hasan Abdul Rahman berkata berpuasa 14 jam sehari secara tidak langsung membantu perokok untuk lebih mudah berhenti kerana sepanjang tempoh itu mereka berupaya mengawal diri daripada merokok.
Justeru itu, Kementerian Kesihatan setiap tahun mempergiatkan kempen berhenti merokok menerusi program Nafas Baru Bermula Ramadhan dengan slogan 'Ramadhan titik permulaan untuk berhenti merokok'.
"Jadi gunakanlah kesempatan Ramadan ini kerana ia peluang terbaik bagi perokok berazam dan seterusnya meninggalkan tabiat merokok," katanya pada Seminar Pendidikan Fatwa-Merokok Adalah Haram di sini, baru-baru ini.
Dr Hasan berkata ia secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan perbelanjaan kerajaan yang mencecah RM3 bilion setahun, untuk merawat tiga penyakit akibat merokok seperti jantung, kanser paru-paru dan penyakit paru-paru kronik.
Menurut Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pada tahun ini lebih daripada lima juta penduduk dunia akan mati akibat penyakit berkaitan merokok.
"Jumlah itu tidak termasuk 600,000 orang bukan perokok yang turut melibatkan 150,000 kanak-kanak yang akan mati terdedah kepada asap rokok," katanya.
Menjelang 2030 pula, dijangkakan seramai 10 juta orang maut akibat merokok dengan 27,400 kematian sehari atau 2,280 kematian sejam ataupun lebih tepat satu kematian setiap tiga saat.
Sementara itu, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada 2006, menunjukkan 21.5 peratus orang dewasa di negara ini merokok, bersamaan dengan tiga juta daripada sejumlah 28 juta penduduk.
"Di kalangan remaja pula, menunjukkan 18.2 peratus remaja berumur 13 hingga 15 adalah perokok," katanya.
Beliau berkata kementerian sentiasa berusaha untuk memberikan perkhidmatan kepada perokok yang berhasrat untuk berhenti merokok menerusi perkhidmatan berhenti merokok yang disediakan di klinik kesihatan dan hospital.
Penyediaan khidmat nasihat, bimbingan dan kaunseling serta infoline berhenti merokok untuk memberikan panduan turut disediakan, katanya.
-BERNAMA, Putrajaya, 8 Ogos 2011
p/s : moga2 berterusan la bhenti merokok tu wahai insan,,sedar2 lah..=))

No comments:

Post a Comment